BANGKOK – Tiga lelaki ditahan kerana didakwa cuba menjual kulit harimau dahan dan harimau belang di sebuah resort di bandar Kanchanaburi yang bersempadan dengan Myanmar, lapor portal berita The Thaiger kelmarin.
Pegawai-pegawai taman negara dan polis turut merampas tiga ekor anak harimau bintang hidup ketika serbuan dilakukan pada 15 Februari lalu. Semua rampasan tersebut dianggarkan bernilai sekitar 2 juta baht (RM259,798.16).
Serbuan dilakukan selepas polis menerima maklumat mengenai peniaga hidupan liar haram cuba menjual barangan tersebut yang diperoleh dari sempadan di Myanmar.
Seorang pegawai polis ditugaskan untuk menyamar sebagai pembeli dan berunding dengan tiga peniaga berkenaan. Semua barang itu telah ditetapkan pada harga 2.2 juta baht (RM 285777.97) dan wang pendahuluan berjumlah 20,000 baht (RM2,597) perlu dipindahkan ke akaun bank milik salah seorang peniaga.
Mereka ditahan di sebuah penginapan di wilayah Sangkhla Buri oleh pegawai-pegawai taman negara dan pasukan polis daripada Bahagian Sumber Asli dan Jenayah Alam Sekitar.
Dua lelaki Thailand dan seorang lelaki Myanmar itu didakwa kerana memiliki dan memperdagangkan bangkai haiwan tersebut serta berdepan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda sehingga 1 juta baht (RM129,899.08).
Jika barang tersebut didapati telah diimport ke Thailand, tiga peniaga tersebut bakal berdepan pertuduhan tambahan. – Agensi