LONDON – Chelsea tidak akan membayar bonus lumayan kepada para pemainnya biarpun mereka berjaya merangkul kejuaraan Piala Kelab Dunia dan Piala Super UEFA yang menyaksikan kelab itu meraih wang kemenangan lebih £7 juta (RM39.80 juta).
Laporan menyebut, difahamkan pihak pengurusan Chelsea dan para pemain tidak pernah mengadakan perbincangan mengenai hadiah wang tunai yang bakal diterima sekiranya mereka berjaya meraih kejuaraan dalam saingan tersebut pada awal musim lalu.
Pihak kelab bersetuju bahawa segala wang kemenangan yang diperoleh hanya akan diberikan kepada para pemain dalam bentuk insentif sahaja pada setiap musim.
Bagaimanapun, para pemain hanya akan mendapat bonus dan bayaran tambahan sekiranya mereka berjaya meraih kemenangan dalam Liga Perdana Inggeris, Liga Juara-Juara, Piala FA dan Piala Liga Inggeris.
Secara umumnya, perjanjian mengenai bayaran bonus hanyalah melibatkan kedudukan mereka dalam saingan liga serta kejohanan-kejohanan yang dinyatakan sahaja tetapi selain daripada itu ia hanyalah akan dibayar secara pro-rata kepada semua pemain.
Di Stamford Bridge, pihak pengurusan kelab itu hanya membayar bonus sekiranya mereka meraih kejuaraan EPL sahaja bagi menerapkan mentaliti dalam kalangan pemain untuk membentuk pasukan yang mantap.
Musim ini menyaksikan mereka berada dalam keadaan sukar untuk meraih kejuaraan tersebut, namun difahamkan pihak pengurusan sudah menyatakan persetujuan untuk memberikan bonus jika mereka berjaya mara ke pentas final Liga Juara-Juara.
Chelsea antara pasukan di England yang menyediakan bayaran bonus yang lumayan untuk para pemain mereka yang berjaya meraih kejuaraan yang termaktub dalam perjanjian pada setiap awal musim.
– AGENSI