PETALING JAYA – Seorang wanita tempatan maut digilis selepas motosikal yang ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori di Lebuh Raya Pantai Baru (NPE), di sini hari ini.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) daerah menerima panggilan kejadian kira-kira pukul 9.15 pagi.
“Pihak BSPT yang tiba di tempat kejadian mendapati kemalangan berlaku melibatkan dua buah kenderaan iaitu motosikal jenis Honda Wave dan lori jenis Nissan.
“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa menunggang motosikal di sebelah kanan jalan dan secara tiba-tiba telah bergesel dengan lori yang kebetulan melalui jalan yang sama.
“Geselan itu menyebabkan motosikal mangsa terbalik dan mangsa terus digilis lori tersebut,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, mangsa yang berusia 24 tahun itu disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
Katanya, siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian. – KOSMO! ONLINE