KUANTAN – Gara-gara tertarik dengan emas lelong yang dijual di Facebook dengan harga murah seorang suri rumah akhirnya berputih mata apabila ditipu dalam pembelian barang kemas berkenaan.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, kejadian bermula pada Isnin lalu ketika mangsa melayari Facebook di rumahnya dekat Bandar Indera Mahkota di sini.
“Wanita berusia 34 tahun itu telah melihat satu iklan penjualan emas lelong serta berminat untuk membeli seutas rantai berharga RM1,500 bersama seutas rantai tangan berharga RM500.
“Mangsa telah berurusan dengan seorang wanita dan membuat bayaran ke akaun yang diberikan suspek melalui tiga transaksi berjumlah RM3,500,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurut Mohd. Wazir selepas membuat bayaran berkenaan mangsa gagal menghubungi suspek menyebabkan dia berasa tertipu dan membuat laporan polis
Katanya, kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dan siasatan giat dilakukan bagi mengesan suspek. – KOSMO! ONLINE