GEORGE TOWN – Maritim Malaysia menahan seorang pekerja sangkar ikan warga Myanmar selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen pengenalan diri petang semalam.
Pengarah Maritim Negeri, Kepten Maritim Abd Razak Mohamed berkata, penahanan lelaki berusia 31 tahun itu dilakukan semasa anggota melakukan pemeriksaan Ops Pertiwi ke atas sebuah sangkar ikan di kedudukan 0.4 batu nautika tenggara Batu Maung dekat sini kira-kira pukul 1 tengah hari itu.
“Hasil pemeriksaan mendapati seorang pekerja sangkar warga Myanmar telah gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Pendatang asing tanpa izin (PATI) itu kemudiannya ditahan dan dibawa ke Jeti Polis Marin Batu Uban sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat untuk tindakan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau memberitahu, kes tersebut akan disiasat di bawah kesalahan Seksyen 6 (1)(c) Akta Imigresen iaitu berada di Malaysia tanpa memiliki pas yang sah.
Justeru, tambah beliau, sebarang aduan salah laku jenayah maritim di laut atau sebarang kecemasan segera hubungi talian hotline Pusat Operasi Maritim Pulau Pinang di talian: 04-2626146 atau talian kecemasan MERS 999. – KOSMO! ONLINE