KUALA TERENGGANU – Seorang pembantu kedai cermin dijatuhi hukuman 12 tahun penjara dan 13 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini setelah mengaku salah atas dua pertuduhan memiliki dadah jenis methamphetamine pada tahun lalu.
Hakim Datuk Hassan Abdul Ghani memerintahkan demikian selepas tertuduh, Mohd. Fadrul Ilmi Mamat, 42, membuat pengakuan bersalah atas dua pertuduhan pilihan terbabit mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952.
Sebelum ini, dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) akta sama yang memperuntukkan hukuman gantung mandatori jika sabit kesalahan.
Hassan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan 10 sebatan bagi pertuduhan pertama manakala penjara tiga tahun dan tiga sebatan pula untuk pertuduhan kedua.
Beliau kemudiannya mengarahkan kesemua hukuman itu berjalan serentak dari tarikh tangkap iaitu 21 Februari 2021.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Mohd. Fadrul Ilmi didakwa memiliki dadah jenis methamphetamine seberat 69.33 gram di sebuah bilik sewa di Kampung Durian Burung di sini pada pukul 6 petang, 21 Februari tahun lalu.
Tertuduh juga didakwa memiliki dadah jenis sama seberat 5.36 gram di lokasi terbabit pada tarikh dan masa sama. – KOSMO! ONLINE