KUANTAN – Seorang warga emas maut selepas kereta jenis Perodua Viva dipandunya melanggar sebuah jengkaut di lorong Indera Mahkota 2 Taman Kota Ria, Bandar Indera Mahkota di sini awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Zahari Wan Busu berkata, kejadian kira-kira pukul 5.45 pagi itu berlaku ketika mangsa Yin Choy, 8, dalam perjalanan dari lorong Indera Mahkota 2 ke arah bandar Kuantan.
“Apabila tiba di tempat kejadian ketika sedang bergerak lurus tiba-tiba kereta berkenaan hilang kawalan lalu melanggar jengkaut yang diletakkan di bahu jalan sebelah kiri laluan.
“Akibat kemalangan tersebut mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian kepala meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wan Zahari mayat mangsa dihantar ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Katanya, berdasarkan siasatan lokasi kejadian adalah jalan lurus dan semasa kejadian cuaca hujan dan permukaan jalan basah.
“Berdasarkan siasatan awal mendapati kemalangan berpunca kecuaian pemandu Perodua Viva yang gagal mengawal kenderaan sehingga menyebabkan kemalangan,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE