fbpx

Nikmat hirup mi rebus di tepi sawah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WATEB di Ulu Sedaka, Yan sentiasa menjadi pilihan orang ramai menjamu selera.

NIKMATNYA sukar diterjemahkan dengan katakata apabila berpeluang menjamah semangkuk mi rebus di bawah pohon rendang bersebelahan sawah padi menghijau.

Selera kian bertambah saat mata terpandang Gunung Jerai yang cukup mempesonakan dengan sesekali bayu lembut bertiup menyejukkan tubuh.

Pengalaman tidak ternilai itu hanya boleh diperoleh apabila singgah di Warung Tepi Bendang (Wateb) di Ulu Sedaka, Yan, Kedah.

Mula dibuka pada 20 November tahun lalu, Wateb bukan sahaja menjadi lokasi kepada orang ramai
untuk menikmati aneka sajian popular tempatan, malah melihat pemandangan indah di sekitarnya.

Pengurus Wateb, Mohd. Faizal Mat Desa, 36, berkata, warung terletak di depan rumah itu diusahakan bersama ahli keluarganya.

Jelasnya, ia terletak di tepi sawah padi berlatarbelakangkan pemandangan Gunung Jerai.

“Sebenarnya, ibu saya ada sebuah kedai makan di Gurun, namun terpaksa ditutup ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan sebelum ini.

“Selepas berbincang, kami ambil keputusan buka kedai makan di tepi rumah. Kami ambil masa dua tahun untuk buat persiapan termasuk penyediaan lokasi untuk pengunjung bergambar.

“Konsep pembinaan warung ini diperoleh menerusi tontonan YouTube mengenai kedai makan tepi bendang di Bali, Indonesia,” katanya ketika ditemu bual baru-baru ini.

Mohd. Faizal memaklumkan, Wateb menawarkan kira-kira 10 pilihan sajian terdiri daripada hidangan popular di negeri Jelapang Padi.

MI rebus sotong akan tambah menyelerakan jika dihidangkan bersama cendol dan ABC.

Tegasnya, kesemua menu itu disediakan sendiri oleh ibunya, Noraini Che Mat, 56, yang berpengalaman
sebagai tukang masak lebih dua dekad.

“Menu utama adalah mi rebus udang, sotong dan ketam. Kami juga ada bihun sup, mi sup, kuetiau sup, pasembur dan nasi ayam, selain menu wajib di Kedah iaitu laksa,” katanya sambil memaklumkan, Wateb
mampu memuatkan seramai 150 pelanggan pada satu-satu masa.

Jelasnya, menu paling laris di Wateb adalah mi rebus yang dimasak menggunakan bahan berbeza sehingga menghasilkan aroma cukup memikat.

NORAINI menunjukkan hidangan mi rebus yang menjadi kegemaran pelanggan

Jelasnya, kuah mi rebus dibuat daripada gabungan bahan utama seperti isi udang kering, udang dan ketam segar, sekali gus menghasilkan rasa serta aroma makanan laut.

“Kalau di tempat lain, mereka selalu guna air rebusan daging untuk memberi rasa pada kuahnya. Tetapi
kami guna udang dan ketam bunga yang dikisar.

“Kami guna udang dan ketam segar dibeli di jeti nelayan berhampiran. Jadi, rasa mi rebus ini memang sedap dan berbeza berbanding tempat lain,” tegasnya.

Mohd. Faisal memberitahu, Wateb turut menyediakan tiga pilihan hidangan pemanis mulut iaitu
cendol, air batu campur (ABC) serta laici kang.

Tegasnya, cendol dihasilkan menggunakan santan kelapa sawit dengan rasa lebih lemak, namun rendah
kolesterol berbanding kelapa.

Antara kemudahan di Wateb termasuk parkir yang luas, tandas selesa serta ruang khas untuk pelanggan
bergambar kenangan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI