fbpx

Bot hanyut 300 meter, tenggelam dan rosak dibadai ribut

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nelayan di Kuala Teluk Kumbar, Bayan Lepas di sini bergotong-royong menarik pukat dan menaikkan bot yang terbalik akibat kejadian ribut awal pagi tadi.

BALIK PULAU – Nelayan di Jeti Kampung Nelayan Teluk Kumbar dan Kuala Sungai Teluk Kumbar di sini terpaksa menanggung kerugian besar selepas bot milik mereka dilaporkan rosak teruk termasuk dihanyutkan ombak dalam kejadian ribut awal pagi tadi.

Dikatakan hampir 10 bot nelayan yang diletakkan di sepanjang jeti berkenaan terjejas selain ada yang tenggelam akibat dibadai angin kencang kira-kira pukul 12.30 malam tadi.

Seorang nelayan, Samsuar Hasshim, 43, berkata, mereka terpaksa berdepan detik cemas hampir dua jam apabila kediamannya yang terletak berdekatan persisiran pantai itu turut dimasuki air dan pasir.

Menurutnya, sebelum itu berlaku kejadian air pasang besar sehingga mencecah paras lantai rumah separa kayu yang didiaminya bersama isteri dan empat anak sehingga ke pekarangan jalan di luar rumah.

“Memang tidak sangka akan berlaku kejadian ombak kuat disusuli ribut dan hujan lebat sehingga menenggelamkan sebuah bot milik saya serta peralatan menangkap ikan.

“Selain itu, bot-bot nelayan pantai lain juga turut mengalami kerosakan teruk termasuk dihanyutkan arus ombak kira-kira 300 meter dari jeti dan ada yang terbalik serta pecah akibat terkena batu.

“Masing-masing kami terpaksa menanggung kerugian hampir RM40,000 hingga RM50,000 bagi setiap bot termasuk kos kerosakan peralatan menangkap ikan,” katanya di sini hari ini.

Ketika ini, kesemua nelayan yang terjejas sedang melakukan gotong-royong menarik pukat dan menaikkan bot yang terbalik. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI