BANDAR RAYA NEW YORK – Seorang pesakit dari Bandaraya New York menjadi wanita pertama di dunia yang sembuh daripada virus kurang imun (HIV) selepas menerima rawatan sel stem, lapor akhbar Daily Mail kelmarin.
Pesakit yang dirawat di Pusat Perubatan Presbyterian Weill Cornell itu berjaya melawan virus maut tersebut dan menjadi individu keempat yang sembuh daripada HIV.
Tiga pesakit yang turut berjaya sembuh daripada virus maut ini adalah pesakit lelaki.
Wanita tersebut juga merupakan seorang pesakit kanser dan telah menerima rawatan untuk melawan kedua-dua penyakit dalam masa sama.
Bagi menjalankan rawatan tersebut, pasukan doktor pertama sekali perlu mencari penderma yang mempunyai mutasi luar biasa, yang menjadikan mereka kebal daripada virus tersebut.
Pakar memberitahu bahawa individu yang mempunyai stem mutasi ini biasanya berasal Eropah utara dan hanya satu peratus daripada populasi itu mengalaminya.
Sebaik sahaja penderma ditemui, doktor menjalankan pemindahan tali pusat haploidentical.
Ia adalah satu proses yang menggunakan darah tali pusat serta sumsum tulang daripada penderma.
“Peranan sel-sel penderma dewasa adalah untuk mempercepatkan proses pengukuhan awal dan menjadikan pemindahan lebih selamat serta mudah,” kata salah seorang doktor, Dr. Koen van Besien.
Disebabkan rawatan sel stem ini berisiko tinggi menyebabkan kematian pesakit, pakar tidak akan menggunakannya ke atas mereka yang masih boleh mengurus HIV mereka melalui kaedah biasa.
Sebaliknya, mereka memfokuskan rawatan ini kepada individu yang berada di peringkat akhir diagnosis kanser dengan ramalan jangka hayat tidak panjang.
Pesakit wanita yang terpilih ini disahkan menghidap HIV pada 2013 dan leukemia pada 2017.
Ini sekali gus menjadikannya sebagai calon yang berpotensi untuk menjalani rawatan tersebut berisiko tinggi itu.
Dia menerima rawatan bermula empat tahun lalu dan sejak itu kanser yang dihidapinya telah hilang dan rawatan HIV tersebut dihentikan pada musim sejuk tahun lepas.
Menurut laporan doktor, badan pesakit tersebut dilaporkan bertindak balas dengan baik terhadap rawatan dan dia menunjukkan keputusan rawatan yang positif.
Imbasan berulang ke atas badan wanita itu turut menunjukkan tiada sel-sel HIV yang berpotensi untuk muncul semula. – AGENSI