ALOR SETAR – Polis menahan tiga lagi suspek bagi membantu siasatan kes kematian seorang lelaki yang disyaki dibunuh dalam kejadian di Simpang Kuala di sini pada semalam.
Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memberitahu, tangkapan melibatkan dua lelaki dan seorang perempuan berusia antara 30-an hingga 50-an.
“Ketiga-tiga suspek ini ditahan di sekitar Alor Setar dan mereka direman sehingga 22 Februari ini bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, setakat ini seramai empat suspek ditahan termasuk seorang lelaki berusia 59 tahun yang ditahan terlebih dahulu di sekitar lokasi kejadian.
Tambahnya, identiti mangsa yang merupakan lelaki berusia lewat 40-an itu masih belum diperoleh.
Kosmo! hari ini melaporkan seorang lelaki ditemui mati dipercayai akibat ditetak pada tangan dan muka sebelum dibakar dalam kejadian di sebuah bangunan panggung wayang lama yang terbiar di Simpang Kuala semalam.
Mayat mangsa berusia lingkungan lewat 40-an itu ditemui anggota bomba ketika melakukan kerja-kerja memadam kebakaran di bangunan tersebut. – KOSMO! ONLINE