BINTANG sensasi badminton negara, Lee Zii Jia merasakan pemilihan Indra Widjaja sebagai jurulatih peribadinya mampu merealisasikan impiannya mencapai sasaran layak ke Sukan Olimpik 2024 di Paris, Perancis.
Zii Jia yang akan genap usia 24 tahun pada 29 Mac ini, mendedahkan hubungan baiknya dengan jurulatih perseorangan wanita kebangsaan itu adalah salah satu faktor utama keputusan tersebut dibuat.
Disebabkan itu, Zii Jia yang berada pada ranking ketujuh dunia, hanya ‘melamar’ Indra selepas pemain dari Alor Setar, Kedah tersebut keluar daripada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sebelum ini.
“Semua orang tahu saya bermula dengan dia (Indra) dari remaja hingga ke pasukan sokongan. Dia juga salah seorang jurulatih yang melahirkan saya hari ini.
“Dia juga salah seorang jurulatih yang sangat sayang saya. Boleh cakap (dia) sangat fokus antara semua pemain dan banyak memberikan nasihat kepada saya.
“Dia anggap saya macam anak dia. Selepas saya keluar (daripada BAM), saya terus menghubunginya.
“Buat masa sekarang, Sukan Olimpik (Paris 2024) adalah sasaran saya,” kata Zii Jia yang turut menjelaskan penubuhan Kelab Badminton Lee Zii Jia semata-mata untuk melantik Indra sebagai jurulatihnya.
Juara All England itu berkata demikian selepas menewaskan juara dunia dari Singapura, Loh Kean Yew 21-6, 21-14 dalam saingan Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022 di Pusat Konvensyen Setia City, Shah Alam hari ini.
Sebagai rekod, Indra pernah memikul tugas selaku jurulatih perseorangan lelaki ketika menyertai BAM pada 2015 dan bakal tamat kontrak bersama badan induk itu sebagai jurulatih perseorangan wanita pada 31 Mac depan. – KOSMO! ONLINE