KUALA LUMPUR – Polis menahan tiga individu termasuk seorang wanita warga asing kerana disyaki terlibat dalam sindiket penipuan dalam talian di sebuah kondominium sekitar kawasan Medan Tuanku, disini, semalam.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya berkata, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Komersil (BSJK) Dang Wangi menjalankan serbuan pada pukul 1.30 tengah hari.
“Hasil serbuan polis berjaya memberkas dua suspek lelaki dan seorang suspek wanita yang juga warga asing berusia antara 36 hingga 42 tahun.
“Siasatan awal mendapati ketiga-tiga suspek menggunakan kondominium mewah yang mempunyai kawalan keselamatan 24 jam bagi melakukan aktiviti penipuan online selain mengelak daripada dikesan polis,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Jelas Noor Dellhan, polis juga berjaya merampas sebanyak 32 barangan disyaki digunakan untuk kegiatan penipuan.
“Antara peralatan dirampas termasuk tiga buah telefon bimbit, sebuah tablet, satu unit iPad, enam unit Pemprosesan Pusat (CPU), enam buah monitor komputer, lima unit papan kekunci komputer serta tetikus dan lima unit kad SSD,” ujarnya.
Katanya, kesemua suspek telah ditahan reman selama tiga hari bermula hari ini dan kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu. – KOSMO! ONLINE