APAKAH yang bakal terjadi sekiranya seorang bintang ternama dunia mendapat tahu tentang kecurangan si kekasih pada hari paling bahagia dalam hidupnya? Bukan satu lamaran biasa, tetapi turut disaksikan berjuta penduduk dunia.
Itu berlaku kepada Kat Valdez dan tunangnya, Bastian. Menarik bukan?
Disebabkan insiden patah hati berkenaan, Kat membuat keputusan ‘gila’ apabila berkahwin dengan seorang lelaki yang hadir pada konsertnya bernama Charlie Gibert.
Penulis bukannya seorang peminat tegar naskhah bernuansakan romantik komedi atau ‘romcom’ dan Marry Me arahan Kat Coiro tambah membuatkan sebenarnya tidak berjaya mendekatkan penulis mendekati tema sedemikian.
Marry Me yang mula ditayangkan 10 Februari di seluruh pawagam tanah air secara peribadi disifatkan sebagai sebuah filem mudah dijangka dari minit pertama naratif bermula sehingga detik akhir.
JLo okey, Maluma gagal
Meletakkan heroin ke tangan Jennifer Lopez sebagai Kat, Owen Wilson (Charlie) dan Maluma (Bastian), percaturan Marry Me kini menduduki senarai antara filem paling klise yang pernah ditonton penulis setakat ini.
Sebelum menonton Marry Me minggu lalu, trailer filem tersebut sudahpun ditonton penulis. Apa yang boleh disimpulkan menerusi trailernya, boleh dikatakan sudah tahu bagaimana jalan cerita.
Trailer tidak sepatutnya memberi gambaran plot atau naratif. Kalau itu berlaku, itu satu kegagalan promosi.
Tiada apa yang salah tentang Marry Me. Pada hemat peribadi, filem terbabit berjalan dengan ‘lancar’, terjemahan karakter juga tidak mengecewakan dan banyak perihal yang membuatkan orang ramai, terutama pasangan yang sedang kasmaran mudah terbuai rasa.
Bagaimanapun, kalau menyentuh soal kualiti, Marry Me kini tercatat sebagai antara filem yang sudah ditonton dan pulang ke rumah, penulis sudah tiada ingatan tentangnya. Itu yang boleh digambarkan setelah menonton filem yang berdurasi 112 minit itu.
Sisi lain Owen Wilson
Kembali ke panggung untuk menonton kali kedua? Kemungkinan besar, tidak. Adakah JLo memainkan peranan sebagai Kat dengan bagus? Ya. Adakah Maluma boleh berlakon? Dia sepatutnya fokus sahaja sebagai penyanyi.
Menerusi Marry Me, penonton bagaimanapun akan dapat melihat sisi lain Owen Wilson yang sebelum ini sering menjayakan karakter-karakter bersifat kurang serius atau penuh lelucon.
Kalau ditanya apa yang seronok tentang filem berkenaan, barangkali dari bibir penulis adalah terjemahan karakter daripada Owen sebagai cikgu matematik yang berkahwin secara mengejut dengan bintang dunia.
Keseluruhan, Marry Me merupakan sebuah naskhah yang tidak salah untuk ditonton dan tidak salah pun kalau tidak mengikuti perkembangan filem berkenaan di panggung wayang.
Namun, kalau kalian masih dalam ‘mood’ Hari Kekasih dan ingin menghabiskan waktu bersama pasangan, bolehlah tonton Marry Me.