KUALA LUMPUR – Lapan pegawai termasuk empat juruterbang Tentera Darat (TD) menerima sayap penerbangan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) setelah berjaya menamatkan latihan.
Kesemua mereka sebelum ini mengikuti Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 kendalian TUDM.
TD menerusi hantaran pada laman media sosial rasmi memberitahu, turut mengikuti kursus khas tersebut ialah empat pegawai Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
Menurut kenyataan itu, kursus ini merupakan fasa asas penerbangan untuk pelatih helikopter yang dilaksanakan di Institut Penerbangan (INSPEN) 2, Kolej Tentera Udara, Alor Setar, Kedah.
“Kesemua pelatih telah berjaya menamatkan kursus penerbangan asas di INSPEN 1 diikuti kursus asas penerbangan helikopter di INSPEN 2 mulai 4 Januari 2021 menggunakan pesawat Eurocopter EC 120B Colibri.
“Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Ackbal Abdul Samad yang berlangsung di Eagle Nest, Markas Tentera Udara di Wisma Pertahanan,” ujar kenyataan itu.
Kapten Muhammad Farris Syaza Zamri telah dinobatkan sebagai penerima Anugerah Pelatih Penerbangan Helikopter terbaik manakala Anugerah Pelatih Akademi Terbaik milik Leftenan Mohamad Hanafie Mohd Yasir TLDM.
Kursus Asas Penerbangan Helikopter Siri 62/21 merupakan siri khas kerana hanya terdiri daripada perkhidmatan TD dan TLDM sahaja. – KOSMO! ONLINE