fbpx

Kasih buat abang ipar mental, anak saudara OKU

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Wazir (kiri) menerima sumbangan kotak makanan daripada Sukarelawan YES Perak yang berkunjung ke rumah mereka di Kampung Lubuk Katak, Tapah baru-baru ini.

TAPAH – Seorang lelaki warga emas sanggup berhenti kerja sebagai pekerja kontrak dengan sebuah syarikat swasta demi menjaga abang iparnya yang mengalami masalah mental selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya pada Disember 2020.

Selain abang iparnya, Mokhtarudin Rashid, 70, warga emas itu juga perlu menjaga anak saudaranya, Mohamad Farid Mokhtarudin, 41, yang juga orang kelainan upaya (OKU).

Wazir Mohd. Saie, 63, memberitahu, dia kini hanya mengambil upah menebas rumput dan melakukan kerja di kebun-kebun milik penduduk.

“Sebelum ini, abang ipar yang menjaga anaknya, Farid, tetapi sejak terlibat kemalangan, dia mula menjadi seperti orang kurang siuman.

“Kadangkala mengamuk sehingga anaknya sendiri terabai sedangkan sebelum ini dia amat menyayangi Farid,” katanya ketika ditemui di Kampung Lubuk Katak di sini baru-baru ini.

Wazir berkata, abang iparnya terlibat kemalangan selepas motosikal yang ditunggang terbabas ketika pulang menziarahi kubur isterinya dan seorang lagi anak mereka.

Katanya, kemalangan itu menyebabkan tulang mukanya retak.

“Farid perlu perhatian sepanjang masa kerana sering di­serang sawan dan ekoran itu, saya dan isteri, Duriah Rashid, 66, mengambil keputusan untuk menjaga mereka,” ujarnya.

Katanya, kos penjagaan abang ipar serta anak saudaranya itu melebihi RM1,000 sebulan.

Ujarnya, Mohamad Farid me­nerima bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), namun masih tidak mencukupi untuk membeli barang keperluan serta mendapatkan rawatan di hospital setiap bulan.

“Selain itu, kami perlu upah rakan untuk membawanya ke hospital kerana saya tidak mempunyai lesen memandu. Walaupun tidak pernah terputus makanan, saya bersyukur wakil penduduk sering bantu kami,” ujarnya.

Menurutnya, dia mengakui keadaannya kini amat sukar untuk mendapatkan sumber kewangan dan berharap ada pihak yang sudi tampil membantu meringankan beban yang ditanggungnya.

“Saya terpaksa ambil upah menebas rumput dan kerja kebun milik penduduk kerana tidak boleh bekerja jauh sebab mereka berdua perlu dibantu untuk mandi dan disuapkan makan,” katanya.

Orang ramai yang ingin me­nyalurkan sumbangan boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Simpanan Nasional atas nama Wazir Mohd. Saie bernombor 08700-41-00008625-5.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN