KUALA NERANG – Seekor gajah betina berusia 20 tahun yang ditemui mati dalam keadaan terduduk di Bukit Makgak berhampiran Empangan Pedu dekat sini semalam berkemungkinan termakan racun atau baja kimia tanaman.
Menurut Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kedah, Jamalun Nasir Ibrahim berkata, siasatan lanjut berhubung punca kematian sebenar haiwan itu bagaimanapun sedang dijalankan.
“Kakitangan bahagian forensik Perhilitan pada semalam telah mengambil sampel dari gajah tersebut untuk dibawa ke makmal di Kuala Lumpur untuk analisis dan kajian selanjutnya.
“Sehubungan itu, kita perlu menunggu sehingga laporan dari makmal itu siap untuk mendapatkan punca sebenar kematian haiwan berkenaan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE