IPOH – Polis Perak menafikan dakwaan tular di media sosial kononnya tidak mengambil tindakan terhadap kegiatan perjudian dalam talian dan pelacuran yang dikatakan berleluasa di empat daerah di negeri ini.
Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dakwaan itu berupa fitnah kepada pegawai dan anggotanya yang telah melaksanakan tugas dengan komited dan tegas bagi memerangi aktiviti haram itu.
Tegasnya, pihaknya juga sama sekali tidak berkompromi mahupun cuba ‘menutup mata’ bagi melindungi mana-mana pihak seperti didakwa.
“Maklumat itu pada saya tidak tepat dan lebih kepada fitnah. Jika kita tahu ada aktiviti perjudian, sudah pasti kita akan ambil tindakan malah semua Ketua Polis Daerah juga telah diarahkan untuk mengambil tindakan tegas terhadap aktiviti tidak berfaedah.
“Malah, jika kita buat serbuan di pusat hiburan yang menggajikan pelayan pelanggan (GRO) warga asing pun, kita akan tulis surat kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk membatalkan lesen operasi,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pihaknya tidak mengetahui individu disebalik dakwaan tersebut namun percaya sekiranya pihak terbabit ikhlas untuk sama-sama memerangi kegiatan perjudian dan pelacuran di negeri ini, mereka akan tampil memberi maklumat kepada polis.
Katanya, maklumat tepat termasuk lokasi aktiviti itu beroperasi membolehkan pihaknya mengambil tindakan segera.
“Mereka perlu tampil memberi maklumat yang lebih lengkap untuk kita jalankan siasatan contohnya jika ada yang terima rasuah, diberi habuan dan premis beroperasi menyalahi undang-undang, maka maklumkan kepada kita.
“Jika takut untuk beri maklumat, kita ada saluran yang boleh lindungi mereka. Ada akta yang boleh melindungi pelapor tanpa mendedahkan identiti mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE