fbpx

Didakwa ubah wang haram lebih RM1 juta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Norani diiringi anggota polis ketika tiba di Mahkamah Sesyen di sini hari ini.

KUALA LUMPUR –  Seorang wanita yang juga pemilik sebuah syarikat pelancongan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM1.15 juta.

Tertuduh Norani Ismail, 66, membuat pengakuan tidak bersalah itu selepas kesemua pertuduhan itu dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Ahmad Kamar Jamaludin.

Mengikut pertuduhan pertama hingga kelima, tertuduh didakwa telah memindahkan wang berjumlah RM1.15 juta daripada akaun semasa Malayan Banking milik Inter City Services & Travel Sdn. Bhd. yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Wang itu kemudian dimasukkan ke dalam akaun semasa Maybank Berhad dan akaun simpanan Malayan Banking Islamic Berhad milik seorang anaknya, akaun semasa Malayan Banking Berhad dan CIMB Bank Berhad milik tertuduh dan satu akaun semasa Hong Leong milik syarikatnya.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad Cawangan Bukit Bintang di sini, antara 25 Januari hingga 3 Oktober 2019.

Perbuatan itu didakwa di bawah perenggan 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613) yang boleh dihukum di bawah subseksyen 4(1) akta sama.

Hukuman bagi perenggan seksyen itu, memperuntukkan penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau peralatan kesalahan itu pada masa kesalahan itu dilakukan atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Norazihah Asmuni menawarkan jaminan RM100,000 bagi kesemua pertuduhan kerana kesalahan adalah serius.

Bagaimanapun peguam Vinod Sharma yang mewakili tertuduh memohon mahkamah mengguna pakai jumlah ikat jamin iaitu RM15,000  yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Menurut peguam itu, ini kerana kes di Mahkamah Sesyen Shah Alam yang mana tertuduh pernah didakwa sebelum ini, merupakan transaksi sama selain memohon kes yang dipertuduhkan di mahkamah ini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

“Tertuduh sebelum ini hadir pada setiap sebutan semula kes (Mahkamah Sesyen Shah Alam) selain tidak pernah gagal. Pasport tertuduh juga telah diambil mahkamah,” kata peguam itu.

Semasa prosiding pihak pendakwaan juga turut memohon kes yang dipertuduhan di Mahkamah Sesyen di sini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam untuk didengar bersama kes hari ini.

Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak hakim Ahmad Kamar membenarkan kes pengubahan wang haram di Mahkamah Sesyen di sini dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam.

Mahkamah juga membenarkan tertuduh diikat jamin dengan menggunakan pakai jaminan RM15,000 seperti yang dikenakan di Mahkamah Sesyen itu.

Tarikh 8 Mac ini ditetapkan sebutan semula dan kes akan di sebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI