fbpx

Pesakit mental didakwa libas, cederakan 4 polis dengan pisau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Azizi (tengah) diiring keluar selepas didakwa di Mahkamah Majistret Tumpat hari ini atas pertuduhan mencederakan dua pegawai dan dua anggota polis dengan sebilah pisau, Sabtu lalu.

TUMPAT – Seorang pesakit mental mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencederakan dua pegawai dan dua anggota polis dengan sebilah pisau panjang pada Sabtu lalu.

Tertuduh, Mohamad Azizi Seman, 42, yang juga seorang penganggur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Kamarul Hasyimie Rosli.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada Chong Yeong Ren, Mohd. Afifi Jamaludin, Mohamad Firdaus Mohd. Jamil dan Muhammad Anuar Saidi Azmi dengan menggunakan senjata berbahaya iaitu sebilah pisau panjang lebih kurang 18 sentimeter yang boleh menyebabkan kematian.

Kesalahan itu dilakukan olehnya di sebuah rumah tanpa nombor di Kampung Sedar di sini kira-kira pukul 9 malam pada 12 Februari lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Sharil Ramli manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Muhammad Sharil memohon tertuduh dihantar ke hospital untuk menjalani pemeriksaan psikiatri kerana lelaki itu merupakan pesakit mental.

Katanya, selain itu, tiada jaminan ditawarkan sementara pihak pendakwaan menunggu laporan psikiatri dari pihak hospital mengenai tahap kesihatan tertuduh.

Mahkamah menetapkan 17 Mac depan untuk sebutan semula kes.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh didapati telah mengamuk di sebuah rumah selepas tidak mendapat wang untuk membeli dadah semasa hari kejadian.

Bertindak atas maklumat itu, Inspektor Yeong Ren, Inspektor Mohd. Afifi bersama dua anggota polis, Koperal Mohamad Firdaus dan Lans Koperal Muhammad Anuar Saidi telah bergegas ke lokasi kejadian.

Tertuduh bagaimanapun tidak memberi kerjasama kepada polis sebelum melibas sebilah pisau sehingga menyebabkan pegawai serta anggota polis itu cedera pada bahagian kepala, belakang badan lengan dan tangan.

Kesemua mangsa telah dirujuk ke Hospital Tumpat di sini untuk rawatan lanjut.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, dua pegawai polis berpangkat Inspektor bersama dua lagi anggota dari Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat parah akibat dilibas dengan sebilah pisau ketika bergelut dengan seorang lelaki yang disyaki kurang siuman di Kampung Sedar di sini.

Kejadian itu menyebabkan lengan Mohd. Afifi dijahit lapan jahitan manakala belakang badan Yeong Ren luka sepanjang dua sentimeter.

Selain itu, belakang kepala Mohamad Firdaus cedera sepanjang sembilan sentimeter dan Muhammad Anuar Saidi pula luka di belakang tangan sepanjang dua sentimeter. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI