PETALING JAYA- Kerajaan bakal mewujudkan kira-kira 600,000 peluang pekerjaan kepada rakyat tahun ini menerusi inisiatif JaminKerja Keluarga Malaysia yang akan dilancarkan Sabtu ini.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, inisiatif dengan peruntukan sebanyak RM4.8 bilion itu akan dilancarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
“Inisiatif itu berlandaskan ‘jobs guarantee’ dimana ketika hari pelancaran yang akan dibuat Perdana Menteri sebanyak 50 majikan akan terlibat dengan lebih 2,500 peluang pekerjaan ditawarkan.
“Selain itu, terdapat pelbagai aktiviti seperti kaunseling kerjaya, sesi temu duga bersama majikan, bantuan pendaftaran Portal Pekerjaan Nasional, MYFutureJobs, dan sebagainya,” katanya ketika menjadi tetamu dalam program khas sebuah stesen televisyen di sini semalam.
Tengku Zafrul berkata, inisiatif tersebut melibatkan tiga komponen utama iaitu Insentif Penggajian JaminKerja, Malaysia Shortterm Employment Programme (MySTEP) serta Program Latihan dan Peningkatan Kemahiran.
“Bagi insentif penggajian kerja, permohonannya telah dibuka dari 17 Januari lalu dan boleh dibuat melalui laman web Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
“Program MyStep pula adalah peluang pekerjaan kepada pekerja-pekerja untuk menyertai Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) dan juga kerajaan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Tengku Zafrul menjelaskan, kerajaan berjaya menjana hampir 560,000 peluang pekerjaan tahun lepas melebihi sasaran awal sebanyak 500,000 sekali gus membantu menyumbang kepada penurunan kadar pengangguran. -KOSMO! ONLINE