JOHOR BAHRU – Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan), Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal mengesahkan parti itu bakal bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang dijadualkan pada 12 Mac ini.
Selain itu, Mohd. Shafie turut mengumumkan bekas Timbalan Ketua UMNO Bahagian Tanjung Piai, Suhaimi Salleh sebagai Pengerusi Warisan Negeri Johor.
Beliau mengesahkan perkara itu ketika berucap pada Majlis Pelancaran Parti Warisan Johor dan Majlis Sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Taman Sutera, di sini malam ini.
Mohd. Shafie berkata, tidak ada salahnya jika kerajaan yang baharu datangnya daripada sebuah parti yang diasaskan di Sabah.
“Sudah tiba masanya kita tidak lagi main kad perkauman dan agama dalam politik, negara ini bukan milik satu kaum sahaja tetapi sebaliknya semua kaum.
“Jika pemimpin UMNO boleh datang dari Bagan Datoh, pemimpin PKR boleh datang dari Permatang Pauh, jadi apa salahnya jika kerajaan Warisan datang dari Sabah,” soalnya.
Turut hadir dalam majlis tersebut, Naib Presidennya, Datuk Junz Wong serta Koordinator Johor, Datuk Sunther Subramaniam dan Wong Siew Poh.-KOSMO! ONLINE