PUTRAJAYA – Pejabat Perdana Menteri (PMO) menafikan penyebaran gambar yang disunting konon Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata tiada hari raya jika tidak dapat dos penggalak.
Menurut sumber, gambar berkenaan sengaja disunting oleh pihak tidak bertanggungjawab dan masa disebarkan pula ketika beliau sedang berada di Brunei untuk lawatan rasmi negara.
“Gambar itu tidak betul dan nampak amat jelas telah disunting sebegitu rupa kononnya Perdana Menteri ada berkata ayat ‘pelik’ yang sedemikian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Tinjauan mendapati gambar tersebut tular diperkatakan netizen sejak petang dan sengaja diperbesarkan kumpulan tertentu yang antikerajaan bagi menghasut pengguna media sosial.
Bagaimanapun semakan Kosmo! mendapati, gambar daripada slot Buletin Utama TV3 itu disunting dengan diberi tajuk sensasi ‘Tiada Booster, Tiada Bazar, Tiada Berhariraya’.
Sebaliknya, tajuk pada gambar asal yang disiarkan stesen televisyen swasta berkenaan pada pukul 8 malam Ahad lalu ialah ‘Bazar Ramadan Boleh Beroperasi Sepenuhnya Tahun Ini.’
Berita itu merujuk sidang akhbar Ismail Sabri ketika menghadiri Majlis Makan Tengah Hari Lou Sang Tahun Baharu Cina Keluarga Malaysia anjuran sebuah persatuan di Kuala Lumpur.
Ramai netizen yang prihatin dengan penyebaran gambar palsu itu turut mendedahkan ada beberapa kesalahan agak jelas pada penggunaan ayat dalam tajuk disiarkan dan ditularkan.- KOSMO! ONLINE