LANGKAWI – Punca kematian sebenar dua beradik warga Myanmar yang maut dipercayai selepas memakan makan sisa makanan dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa, Bukit Malut di sini kelmarin masih belum dapat dipastikan.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, mayat mangsa, Ngei Jamaludin, 2, dan abangnya, Nizambudin, 4, selesai menjalani proses bedah siasat di Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah di Alor Setar hari ini.
“Punca kematian sebenar masih belum dapat dipastikan dan perlu menunggu analisis lanjut.
“Pihak polis akan merujuk sebarang hasil analisis kepada Jabatan Kimia di Pulau Pinang,” katanya di sini hari ini.
Menurut Shariman, siasatan terhadap bapa kepada dua kanak-kanak terbabit masih berjalan.
Suspek berusia 36 tahun ditahan pada pukul 12.05 tengah malam semalam dan direman selama 14 hari bagi membantu siasatan.
Tambahnya, pihaknya terpaksa menggunakan jurubahasa kerana suspek yang berasal dari Myanmar tidak fasih berbahasa Melayu.- KOSMO! ONLINE