TUMPAT – Seorang penyeludup nekad melarikan diri selepas kereta yang sarat dengan muatan sebanyak 510 kilogram (kg) minyak masak paket bersubsidi dipandunya ditahan anggota penguat kuasa di Jalan Chabang Empat Tok Mek Ngah di sini hari ini.
Kereta jenis Proton Iswara Aeroback itu ditahan kira-kira 12.30 tengah hari selepas membawa muatan minyak masak dan 100kg tepung gandum yang dipercayai akan diseludup ke negara jiran.
Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kelantan, Azanizam Afendi Juri berkata, sebaik menerima maklumat, pihaknya dengan kerjasama Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat mengesan kereta dipandu suspek dalam keadaan mencurigakan dari Bachok menghala ke Tumpat.
Menurutnya, kereta itu berjaya ditahan berhampiran Jalan Chabang Empat Tok Mek Ngah, namun pemandunya sempat melarikan diri ke dalam semak berhampiran kawasan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut di dalam but kereta itu telah menjumpai minyak masak dan tepung gandum bernilai RM 6,410 yang dipercayai akan diseludup ke Thailand.
“KPDNHEP Kelantan tidak akan berkompromi dengan individu yang menjalankan aktiviti yang tidak bermoral ini dan tindakan tegas akan diambil terhadap mereka yang terlibat,” katanya.- KOSMO! ONLINE