LOS ANGELES, California – Saintis-saintis memberi amaran bahawa Barat kini berdepan musim kemarau yang paling buruk dalam tempoh beberapa abad, lapor stesen penyiaran CNN, kelmarin.
Kajian mengenainya yang diterbitkan dalam jurnal Nature Climate Change, mendapati tempoh bermula dari tahun 2000 hingga 2021 adalah yang paling kering di dunia dalam masa 1,200 tahun.
Musim kemarau tahun lalu pula adalah antara yang paling buruk dalam sejarah, manakala semua petunjuk menyatakan bahawa keadaan kering melampau akan berlarutan pada tahun ini.
Krisis iklim dunia yang berpunca daripada aktiviti manusia menyebabkan kemarau mega tersebut menjadi 72 peratus lebih teruk, demikian menurut kajian mereka.
Pembakaran bahan api fosil memberi kesan langsung ke atas sumber air di Barat yang sejak dua dekad lalu, dilanda cuaca kering dengan hujan lebat sekali-sekala.
Sebagai contoh, pada Disember tahun lalu, bandar raya Los Angeles mencatat suhu kedua paling panas dalam rekod tempatan dengan tadahan hujan cuma 163 mililiter (ml).
“Berdasarkan kajian saintis-saintis, iklim semasa menunjukkan bahawa tempoh kemarau makin berpanjangan daripada biasa.
“Tetapi ironinya adalah tempoh kemarau lebih lama dan lebih kering ini turut diselang- seli oleh kejadian ribut petir,” kata Profesor Perancangan Bandar dan Dasar Awam Universiti California (UCLA) serta Pengarah Water UCI, David Feldman,
Penulis utama kajian itu, Park Williams berkata, taburan hujan dan salji lebih banyak daripada kadar biasa selama beberapa tahun diperlukan untuk mengatasi kemarau mega yang sedang berlaku.
“Kemarau ini agak mustahil untuk diakhiri dengan musim hujan dan cuaca lembab hanya dalam masa satu tahun,” katanya.
Daerah Los Angeles telah menggali beberapa lembangan tanah terbuka yang besar dikenali sebagai tapak hamparan untuk menyerap hujan dan menyimpannya di bawah tanah.
Kini, Los Angeles sedang berusaha untuk menjadi kurang bergantung kepada air yang diimport dan menumpukan kepada penggunaan air yang ditakung sendiri.
Buat masa sekarang, sebanyak 90 peratus air yang digunakan di Los Angeles diimport dari California Utara, Pergunungan Sierra Nevada dan Lembangan Sungai Colorado. – Agensi