fbpx

Adegan berani, ranjang sensasikan Villa Kristal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JASON CHONG (empat dari kanan) bersama barisan pelakon Villa Kristal pada sidang media naskhah terbitan WeTV berkenaan baru-baru ini.

BIARPUN belum memulakan tayangannya, hebahan awal naskhah Villa Kristal sudah mula menarik perhatian dengan kisah adegan babak ranjang yang dilakonkan seorang pelakon utamanya, Jasmine Suraya.

Tidak menafikan adegan ‘berahi’ sebagai satu tarikan dalam Villa Kristal pengarahnya, Kabir Bhatia dan Jason Chong bagaimanapun mempunyai alasan tersendiri berhubung perkara tersebut.

“Saya mengaku adegan ranjang itu memang menarik perhatian ramai, tetapi adegan tersebut dibuat kerana mengikut keperluan watak dan cerita.

“Kami bukan sengaja mereka-reka adegan ranjang untuk suka-suka, malah dilakukan dengan bantuan pengunaan teknik kamera,” jelas Jason dalam temu bual secara virtual baru-baru ini.

Pendapat tersebut turut disokong oleh Kabir yang memberitahu, meskipun Villa Kristal mempunyai babak ranjang, tetapi selaku pengarah, dia masih mengambil kira soal budaya tempatan.

MIMI LANA sebagai Hani, seorang penulis novel dalam Villa Kristal

“Kami tidak membikin drama ini secara keterlaluan, sebaliknya saya memikirkan soal budaya, penerimaan pelakon dan penonton meskipun tiada tapisan seperti lazimnya,” kata Kabir.

Jason yang sebelum ini cemerlang dengan drama The Bridge, dia sebenarnya bebas berkarya tanpa sebarang batasan memandangkan drama tersebut bakal ditayangkan di platform penstriman WeTV, namun kebebasan tersebut hadir dengan tanggungjawab.

“Memang sebagai pengarah, saya bebas melempiaskan kreativiti dalam platform penstriman, tetapi kebebasan itu datang dengan tanggungjawab. Jadi saya gunakan kebebasan dengan berpada-pada.

“Sebenarnya setiap pengarah bebas untuk berkarya dalam mana-mana platform, cuma kita harus mengikut garis panduan yang ditetapkan platform penyiar masing-masing.

“Pada akhirnya, adakah karya yang dibikin mencapai cita rasa dan menghiburkan penonton?” kongsi Jason.

EMPAT pelakon wanita popular (dari kiri) Mimi Lana, Tiz Zaqyah, Mawar dan Jasmine berperanan besar menghidupkan kisah dramatik dalam Villa Kristal.

Cabaran

Meskipun dilihat seperti sebuah kapal yang mempunyai dua nakhoda kerana diterajui dua orang pengarah, namun akui Kabir, kaedah tersebut mempercepatkan proses pembikinan drama berkenaan.

Kehadiran dua pengarah dalam sebuah naskhah sebenarnya satu kebiasaan, terutama untuk drama bersiri yang mempunyai tempoh penggambaran panjang.

“Sebenarnya kerja jadi mudah, seorang pengarah di set penggambaran dan seorang lagi menyelesaikan kerja-kerja yang lain.

“Kerja juga jadi cepat dan setiap masalah diselesaikan dengan mudah kerana mempunyai dua idea dan minda untuk berfikir secara kreatif,” tutur Kabir tentang penerbitan WeTV Original pertama di Malaysia tersebut.

Tambah Jason, selain penulisan skrip, cabaran utama penghasilan Villa Kristal adalah penggambaran ketika musim pandemik.

Selain terpaksa mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang memperlahankan perjalanan produksi, mereka juga berdepan dengan musibah banjir yang melanda negara pada Disember lalu.

TIZ ZAQYAH

“Sudahlah semasa penggambaran kami sentiasa tidak cukup masa, tiba-tiba banjir pula.

“Tetapi saya bersyukur dengan kru produksi yang sangat komited, kami dapat menguruskan segala masalah dengan baik. Walaupun banjir dan hujan selama beberapa hari, kami tetap dapat menyelesaikan penggambaran,” kongsi Jason.

Menyambung bicara tentang Villa Kristal, Jason tertarik untuk terlibat dalam naskhah berkenaan kerana skripnya yang berani mengangkat kisah masyarakat dalam bentuk komedi.

“Villa Kristal mengangkat kisah masyarakat hari ini yang suka menghukum dan buruk sangka tanpa tahu cerita sebenar.

“Naskhah ini sangat berbeza dengan drama-drama yang biasa ditonton dalam televisyen,” kata Jason yang kini dalam pembikinan sebuah drama bersiri terbaharu berjudul Liar.

Villa Kristal lakonan Mimi Lana, Tiz Zaqyah, Mawar Rashid dan Jasmine Suraya itu mengisahkan tentang seorang penulis novel yang menyamar sebagai menantu seorang ahli politik.

Penyamaran tersebut bertujuan untuk membongkar masalah rumah tangga madu-madu dan kekasih rahsia individu terkenal yang mendiami Villa Kristal.
Drama Villa Kristal bakal disiarkan menerusi platform penstriman WeTV tidak lama lagi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI