GEORGE TOWN – Seorang pengguna, Athirah Razali, 32, mengeluh apabila terpaksa membeli kit ujian ujian pantas (RTK) antigen pada harga RM10 seunit daripada seorang penjual dalam talian.
Menurutnya, dia yang mencari kit ujian Covid-19 itu di lima buah premis yang beroperasi pukul 10 hingga 12 malam tetapi tidak berhasil kerana ketiadaan bekalan.
Athirah berkata, kebanyakan peniaga memberi alasan orang ramai membeli dalam kuantiti yang banyak selain menunggu penghantaran bekalan daripada pihak pembekal yang lambat.
“Disebabkan itu, saya terpaksa juga membeli daripada individu pada harga RM10 sekotak kerana begitu terdesak selepas mengalami demam dan sakit tekak.
“Tidak kira di kedai serbaneka atau farmasi situasinya semua sama, kit laku keras setiap kali stok tiba di kedai,” katanya.
Sementara itu, seorang pelanggan, Fauzura Yusoff, 40, berkata, tumpuan orang ramai bagi mendapatkan kit ujian adalah di beberapa kedai serbaneka kerana harganya yang murah berbanding di farmasi.
“Kalau saya lihat di farmasi kit ujian kendiri ini masih ada tetapi harganya agak mahal jika ingin dibandingkan di kedai-kedai serbaneka.
“Macam saya anak ada tiga orang yang bersekolah jadi saya terpaksa beli lebih.
“Saya risau sebab ketika ini kluster sekolah adalah yang tertinggi jumlah positif di Malaysia,” katanya.
Dalam pada itu, seorang pengguna dikenali Ayman memberitahu, kit ujian yang dijual di farmasi sekitar RM8 hingga RM9 seunit, lebih mahal berbanding di kedai serbaneka iaitu sekitar RM4.90 seunit.
Katanya, kebanyakan pengguna tidak mempunyai pilihan bagi memeriksa status kesihatan sendiri.
“Kami tiada pilihan, kalau beli secara dalam talian lagi mahal, mahu atau tidak apabila berasa bergejala perlu buat ujian.
“Harap kerajaan dapat melihat situasi ini, harga yang tinggi sangat menekan pengguna terutama keluarga yang mempunyai anak ramai,” ujarnya.