SHAH ALAM – Kegiatan lima sekawan termasuk pengasuh kanak-kanak menjual air ketum di sebuah rumah teres di Seksyen 24 di sini sejak setahun lalu tumpas selepas diserbu polis, semalam.
Serbuan kira-kira pukul 4.30 petang itu menahan kesemua suspek lelaki berusia 26 hingga 48 tahun selain merampas 276 botol berisi air ketum dianggarkan bernilai RM4,140.
Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Baharudin Mat Taib berkata, berdasarkan siasatan awal mendapati sebotol air ketum dijual pada harga RM20 kepada pelanggan di sekitar daerah ini dengan bekalan ketum diperolehi dari negeri di utara Semenanjung.
Difahamkan mereka mengambil air ketum tersebut dari pembekal dan mengambil untung atas angin bagi penjualannya.
“Hasil siasatan awal mendapati bekalan air ketum itu boleh dijual sehingga 400 botol sebulan. Rumah teres itu pula disewa pada kadar RM1,000 sebulan untuk dijadikan tempat melepak dan menjalankan aktiviti pengedaran ketum.
“Kesemua suspek mengenali satu sama lain dengan kegiatan ini didalangi seorang penganggur. Selain itu, terdapat juga suspek bekerja sebagai penghantar makanan, pengasuh kanak-kanak, penjaga parkir dan kelasi kapal dengan tiga daripada suspek telah berkahwin,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Kata beliau, semasa serbuan didapati kesemua botol berisi air ketum yang keseluruhanya dianggarkan seberat 414 liter itu diletakkan di tiga buah tong plastik dan dua kotak gabus di ruang dapur rumah teres itu.
Baharudin menambah, air ketum boleh dibekalkan kepada 276 pengguna jika berada di pasaran.
“Ujian saringan awal air kencing terhadap kesemua suspek didapati negatif dan salah seorang daripada mereka mempunyai dua rekod lampau dibawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah- langkah Pencegahan Khas 1985).
“Mereka kini direman selama tiga hari sehingga Khamis ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952,” katanya. -KOSMO! ONLINE