PAPARAN kandungan media sosial sememangnya sukar dikawal secara total, namun sebagai pengguna, kita haruslah bijak menilai sama ada sesuatu kandungan itu wajar dijadikan ikutan atau pun sebaliknya.
Pada bulan lalu, satu trend dipanggil unboxing isteri menjadi tular di media sosial.
Unboxing kebiasaannya melibatkan seseorang, lazimnya pesohor media sosial yang merakam proses membuka kotak atau pembungkusan asal untuk mendedahkan produk atau isinya kepada penonton.
Menerusi trend unboxing isteri itu, para suami yang baru selesai majlis akad nikah atau majlis persandingan yang masih dalam persalinan pengantin akan ‘menanggalkan’ selendang dan aksesori perhiasan pada tubuh si isteri sambil perbuatan itu dirakam oleh isteri mereka di hadapan cermin.
Entah siapa yang memulakannya, trend itu dengan pantas menjadi ikutan pasangan pengantin lain seolah-olah tidak sabar untuk menayang isteri yang sudah selamat dinikahi.
Biarpun aksi itu hanya sekadar menanggalkan jarum pin pada selendang yang dipakai oleh pengantin perempuan, namun ia masih dianggap tidak wajar memandangkan tindakan itu mampu mengundang fitnah dan memberi bayangan kepada perkara-perkara lain.
Lebih memalukan, trend itu pastinya ditonton oleh pengguna aplikasi tersebut dari seluruh dunia, dan memberikan kesan yang tidak elok kepada pasangan pengantin beragama Islam.
Menurut Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, tindakan tersebut telah menunjukkan bahawa segelintir umat Islam negara ini seolah-olah sudah hilang sifat malu yang merupakan sebahagian daripada iman.
“Saya sedih apabila melihat semakin ramai golongan Melayu beragama Islam di negara ini yang sudah hilang sifat malunya.
“Menurut beberapa hadis, sifat malu itu adalah sebahagian daripada iman dan kunci utama ke syurga.
“Ia juga adalah satu sifat yang menghalang individu beragama Islam daripada melakukan dosa,” katanya.
Imam Muslim Rahmatullah Taala meriwayatkan, daripada Abdullah bin Umar bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wassallam bersabda: “Malu itu adalah sebahagian daripada iman.”
Ini menunjukkan bahawa sifat malu merupakan perhiasan sejati seorang Muslim kerana orang yang tidak mempunyai rasa malu itu bererti imannya cacat.
Tambah Wan Salim, tindakan tersebut adalah salah kerana seorang suami tidak seharusnya mendedahkan keintiman bersama isteri kepada orang ramai.
“Tindakan mendedahkan apa yang sepatutnya menjadi rahsia antara suami dan isteri dianggap sebagai satu bentuk pengkhianatan dalam Islam.
“Terdapat banyak hadis dalam al-Quran yang melarang seorang suami atau isteri untuk menunjukkan atau memberi bayangan bagi hubungan mereka kepada orang lain,” katanya.
Seorang netizen, Ili Aqilah pula berpendapat, aksi unboxing isteri adalah keterlaluan.
“Hal ini kerana anda berlebih-lebihan dalam berkongsi (hal perkahwinan) dan sebagai seorang pengantin baharu, saya tidak akan sesekali melakukannya,” katanya.
Oleh yang demikian, sama-samalah kita menghiasi diri dan keluarga dengan sifat malu kerana ia adalah benteng atau penghalang yang boleh mengelakkan diri daripada melakukan perbuatan mungkar dan maksiat.