PASIR PUTEH – Gagal mengurus pinjaman modal kewangan didapati menjadi punca utama kebanyakan usahawan tani di negara ini tidak mencapai tahap kecemerlangan dalam menjalankan projek pertanian yang diusahakan mereka.
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr. Nik Muhammad Zawawi Salleh berkata, selain itu, usahawan tani yang tiada pelan strategik, misi dan visi keusahawanan juga menyebabkan mereka cepat gulung tikar meskipun menerima banyak bantuan daripada pelbagai pihak.
Menurutnya, khidmat pakar dan nasihat pegawai agensi pertanian perlu diberikan kepada petani yang mengusahakan projek keusahawanan terutamanya dalam industri kecil dan sederhana (IKS) melibatkan makanan.
“Kebanyakan golongan bumiputera yang terlibat dalam usahawan tani sering berdepan dengan kegagalan apabila penggunaan kewangan sama ada yang diperoleh secara pinjaman gagal diurus dengan baik dan berdisiplin.
“Bagaimanapun, kita masih belum mempunyai jumlah usahawan tani yang gagal mengurus kewangan. Cumanya, ada data yang mengatakan mereka tidak mampu mengurung kewangan dengan baik,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Program Agrobank dan Komuniti di Cherang Rotan di sini hari ini.
Menurutnya, kebanyakan petani luar bandar juga kurang mendapat pendedahan selain gagal mendapatkan sumber tepat untuk memohon bantuan yang disediakan oleh agensi pertanian.-KOSMO! ONLINE