Berkahwin dalam tempoh pandemik Covid-19 memberi kelegaan kepada ramai pasangan muda apatah lagi ibu bapa pengantin kerana mereka tidak perlu berbelanja besar untuk menganjurkan kenduri, menempah pelamin dan katering.
Jika sebelum ini, majlis gilang gemilang pelbagai tema dengan kos puluhan dan ratusan ribu ringgit menjadi idaman setiap pasangan muda tetapi bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP), majlis akad nikah di pejabat agama yang cukup ringkas sudah cukup memadai dan bermakna bagi pengantin baharu.
Kini, seiring perubahan kehidupan ke arah endemik, penganjuran majlis perkahwinan kembali meriah dan industri berkaitannya turut bangkit memberi rezeki baharu kepada usahawan yang terjejas sebelum ini.
Bagaimanapun, lain pula dengan majlis perkahwinan yang dihadiri penulis di Felda Keratong 4, Pahang baru-baru ini yang menimbulkan rasa bangga dan terharu melihat semangat gotong-royong ahli keluarga dan jiran tetangga yang membantu keluarga pengantin sejak seminggu sebelum tarikh ditetapkan.
Tiada istilah wedding planner atau pakej katering buat tuan rumah Abdul Halim Hashim dan isterinya, Norehan A. Samat kerana tulang empat kerat mereka mampu menggerakkan majlis perkahwinan anaknya berjalan lancar.
Mereka sendiri turun ke dapur membantu memasak dan menyiapkan juadah lauk kampung berupa ikan talapia bakar, nangka masak lemak ikan masin, goreng ikan talang bercili, rendang daging, sambal belacan dan ulam-ulaman kepada tetamu.
Sikap murah hati dan berkongsi rezeki Abdul Halim itu telah membolehkan dia menerima tetamu sepanjang 48 jam majlis perkahwinan tersebut yang datang dari jauh dan dekat bagi mengeratkan lagi ukhuwah yang terjalin selama ini.
Abd. Halim hanya seorang peneroka kecil di kawasan tersebut tetapi sikapnya yang suka menyantuni setiap majlis perkahwinan sahabat handai dan ahli keluarganya bukan sahaja di Pahang tetapi di seluruh negara membuatkan tetamu dari pelusuk negeri berkunjung pula untuk memeriahkan majlis anjurannya di kampung.
Berbeza sungguh dengan pendirian masyarakat masa kini kerana banyak faktor terpaksa diambil kira untuk menghadiri sesuatu majlis perkahwinan.
Bukan hanya mencongak duit belanja, minyak dan tol untuk hadir ke majlis tersebut tetapi juga sering memikirkan untuk memilih jemputan dari rakan karib, kawan sekolah, saudara terdekat atau jauh, lokasi antara di kampung atau bandar, dewan, hotel atau hanya bawah khemah yang membahang.
Menghadirkan diri hanya seketika seperti yang selalu disebut ‘tunjuk muka’, besar maknanya buat tuan rumah, mereka sebenarnya bukan diminta balasan berupa sampul duit dilipat tebal tetapi keikhlasan memenuhi jemputan.
Beruntunglah kita kerana dipilih daripada seribu temannya menjadi tetamu kehormat kerana mungkin dengan doa yang dititipkan bakal membawa keberkatan buat pengantin dan ahli keluarganya juga.