LIVERPOOL – Liverpool dijangka berdepan tugas sukar menjelang aksi 16 pasukan terbaik saingan Liga Juara-Juara menentang Inter Milan di San Siro awal pagi esok.
Pemain tengah The Reds, Fabinho menganggap laluan Liverpool cukup berliku untuk mara ke pusingan seterusnya berdasarkan reputasi Inter sebagai salah sebuah pasukan terbaik dalam Serie A musim ini.
Bagaimanapun, dia percaya skuad kendalian Jurgen Klopp itu sedia untuk memberikan segala-galanya pada perlawanan tersebut bagi membawa pulang bekalan selesa menjelang aksi timbal balik di Anfield nanti.
“Ia akan jadi satu perlawanan yang sangat sukar kerana Inter adalah pasukan terbaik dalam liga Itali ketika ini. Tidak hairan mengapa mereka mampu berada dalam kelompok teratas liga.
“Ada beberapa pemain Inter sudah beraksi bersama selama empat atau lima tahun, jadi persefahaman mereka sangat tinggi. Bagaimanapun, kami sudah bersedia untuk pergi ke sana dan catat keputusan positif,” kata pemain Brazil itu.
Sementara itu, bek kiri Liverpool, Andy Robertson berharap jentera serangan tidak mensia-siakan peluang terhidang kerana menganggap Inter memiliki benteng pertahanan yang cukup baik.
“Kami akan pastikan penyerang kami memberi tekanan kepada mereka kerana aksi di tempat lawan sentiasa sukar. Kami perlu tampilkan corak permainan seperti biasa jika mahu pulang dengan kemenangan,” ujarnya. – AGENSI