KUALA NERANG – Seekor gajah betina berusia 20 tahun seberat dua tan ditemui mati di tepi Jalan Empangan Pedu, Bukit Makgak di Pedu dekat sini hari ini.
Ketua Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Sik/Padang Terap, Zulkifli Othman berkata, pihaknya menerima panggilan daripada orang awam berhubung penemuan bangkai gajah itu pada pukul 9.10 pagi.
Katanya, seramai 10 anggota Perhilitan daerah kemudian pergi ke lokasi dan menemui seekor gajah yang telah mati dalam keadaan terduduk di tepi jalan.
“Saya difahamkan gajah itu mati pada awal pagi sebelum ditemui penduduk kampung semasa mereka hendak pergi menoreh getah di kawasan itu,” katanya di sini hari ini.
Kata beliau, gajah tersebut dipercayai datang ke lokasi tersebut secara berkumpulan dari hutan berhampiran iaitu Pedu untuk mencari makan.
“Hasil pemeriksaan dan siasatan mendapati tiada kecederaan pada bangkai gajah tersebut,” jelasnya. – K! ONLINE