KOTA TINGGI – Empat sekawan berdepan hukuman mati apabila dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang banduan, awal bulan ini.
Tertuduh, Muhamad Azrul Othman, 32, Quyum Razi Abdullah, 33, Hardianshah Adnan, 31 dan Syed Mahadi Munap, 42, menggangguk faham sejurus pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Rashidah Baharom.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan.
Mengikut pertuduhan, keempat-empat mereka didakwa secara bersama-sama membunuh Mohd. Rizal Ab. Talib, 39, di tepi Jalan Dato Onn, Mersing Kanan kira-kira pukul 7.19 hingga 7.22 pagi 3 Februari lalu.
Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 akta sama dan jika disabit kesalahan, boleh dikenakan hukuman mati.
Mahkamah menetapkan 16 Mac depan sebagai tarikh sebutan semula kes bagi penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.-KOSMO! ONLINE