PETALING JAYA – Ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei malam tadi disambut secara rasmi oleh perbarisan hormat anggota dari Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB).
Perkara itu dimaklumkan sendiri oleh Ismail Sabri menerusi satu ciapan di laman Twitter miliknya.
“Setibanya di Lapangan Terbang Antarabangsa Brunei malam tadi, saya diberi sambutan rasmi dan perbarisan hormat daripada anggota ABDB,” ciapnya.
Terbaharu, Ismail Sabri mengadakan lawatan rasmi pertamanya selama dua hari ke Bandar Seri Begawan, Brunei Darussalam bermula semalam hingga hari ini bertujuan merapatkan kerjasama yang sedia terjalin dan memperkukuhkan persahabatan antara kedua-dua negara.
Turut hadir bersama, isterinya, Datin Seri Muhaini Zainal Abidin; Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah; Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof; Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr. Shahidan Kassim serta pegawai-pegawai kanan kerajaan. – KOSMO! ONLINE