fbpx

Bomoh warga emas nafi cabul wanita guna limau nipis, telur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Raba’ai ketika dibawa ke Mahkamah Majistret Melaka hari ini.

MELAKA – Seorang bomoh warga emas dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mencabul seorang wanita dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam, bulan lalu.

Tertuduh, Mohd. Raba’ai Parman, 66, bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Majistret Mohamad Izwan Mohamed Noh.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang telah berkahwin didakwa melakukan cabul dengan menyapukan limau nipis dan telur ayam ke badan seorang wanita berusia 41.

Tindakan itu dilakukan kira-kira pukul 9 malam di kediamannya di Taman Rambai Utama dalam daerah Melaka Tengah pada 11 Januari lalu.

Difahamkan, mangsa datang ke rumah tertuduh yang dipanggil ‘Atok’ bersama anak dan rakan lelakinya untuk menjalankan rawatan selepas mengalami masalah emosi pengadu tidak stabil serta mudah marah.

Sabit kesalahan, warga emas berkenaan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana daripada dua daripada hukuman itu mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan.

Selepas mendengar rayuan kedua pihak, mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000 berserta syarat tambahan tidak mendekati atau mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Beliau kemudian turut menetapkan tarikh 28 Mac depan sebagai sebutan semula kes.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI