JOHOR BAHRU – Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK) Johor, Mohamad Taufiq Ismail nafi meletakkan jawatan dalam PKR gara-gara kecewa tidak dicalonkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohamad Taufiq berkata, perletakan jawatan itu turut membabitkan posissinya sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru tidak ada kena mengena dengan isu penamaan calon PKR yang diumumkan secara berperingkat semalam.
“Tidak benar sama sekali. Saya letak jawatan bukan kerana kecewa tidak dicalonkan pada PRN Johor. Sebenarnya ada isu yang perlu diselesaikan dengan cabang sehingga saya mengambil keputusan meletakkan jawatan.
“Saya membuat keputusan letak jawatan selepas berfikir panjang dan keputusan ini adalah muktamad. Saya tidak akan tarik balik keputusan yang dibuat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam, Mohamad Taufiq mengumumkan telah meletak jawatan yang dipegangnya dalam PKR berkuat kuasa serta-merta.
Menurut Mohamad Taufiq, pada masa sama dia turut melepaskan jawatan sebagai Setiausaha PKR Cabang Johor Bahru.-KOSMO! ONLINE