fbpx

Saifuddin hadiri pemukiman menteri luar ASEAN di Kemboja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bakal mengetuai delegasi Malaysia ke Sesi Pemukiman Menteri Luar ASEAN di Phnom Penh, Kemboja dua hari bermula esok.

Menurut kenyataan Kementerian Luar di sini hari ini, ia merupakan mesyuarat berjadual yang julung kali bagi kesemua 10 negara anggota pertubuhan serantau tersebut untuk tahun ini.

Sesi ini didahului dengan Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN (SOM) hari ini dan esok dengan Malaysia diketuai Ketua Setiausaha Kementerian, Tan Sri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob.

“Timbalan Perdana Menteri Kemboja merangkap Menteri Luar dan Kerjasama Antarabangsa, Prak Sokhonn akan mempengerusikan sesi pemukiman itu,” tambah kenyataan Wisma Putra.

Ia akan dihadiri oleh menteri luar dari lapan negara anggota yang lain serta Setiausaha Agung ASEAN, Datuk Paduka Lim Jock Hoi, di samping perwakilan khas dijemput dari Myanmar.

Wisma Putra memaklumkan bahawa antara isu yang akan dibincangkan para menteri luar ASEAN itu ialah pelaksanaan dan tindakan susulan terhadap keputusan dicapai sebelum ini.

Implementasi tersebut ujarnya, melibatkan Sidang Kemuncak ASEAN ke-38 dan ke-39 serta beberapa sidang kemuncak lain yang berkaitan di samping hubungan luar blok berkenaan.

“Mereka juga akan membincangkan pelbagai inisiatif untuk menggerakkan sejumlah bidang keutamaan dan agenda ASEAN di bawah Kepengerusian Kemboja,” jelas Wisma Putra lagi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI