JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) memberi amaran akan menarik semula sokongan terhadap memorandum persefahaman (MoU) Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan, jika Rang Undang-undang Anti Lompat Parti tidak diluluskan pada sesi parlimen Mac depan.
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, sekiranya Rang Undang-undang Anti Lompat Parti itu dipersetujui dan diluluskan pada sesi parlimen nanti, PH bersedia berunding untuk meneruskan MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik bersama kerajaan.
“Untuk waktu ini, kita tidak boleh harapkan apa-apa selebihnya dari Kerajaan Persekutuan. Benar ada MoU, yang menetapkan beberapa peruntukan tambahan RM45 bilion untuk selesaikan masalah COVID-19, RM10 bilion masalah kemiskinan dan Undi18 yang ditetapkan.
“Rang Undang-undang Anti Lompat Parti mesti diluluskan sebelum akhir sesi Parlimen pada Mac. Rang undang-undang ini mesti kita sampaikan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa tidak mungkin MoU terbabit dapat bertahan.
“Sekiranya Rang Undang-undang Anti Lompat Parti ini tidak diluluskan dalam sesi parlimen akan datang pada Mac, maka MoU itu kita tolak. Kalau setuju, rundingan boleh diteruskan, kalau tidak, terbatalnya secara sendirinya MoU itu,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jentera PH dan Ikatan Demokratik (Muda) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, di sini, hari ini.
Hadir sama, Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Mohamad Sabu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden Muda, Syed Saddiq Syed Abd Rahman.
MoU Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik ditandatangani antara kerajaan dan PH pada 13 September 2021 antara lain bersetuju melakukan transformasi melibatkan pelan pemulihan Covid-19, pentadbiran, pembaharuan Parlimen, kebebasan institusi kehakiman, Perjanjian Malaysia MA63 dan penubuhan Jawatankuasa Pemandu.
Sementara itu, Naib Presiden Majlis Presiden PH, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, sokongan kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Perdana Menteri akan ditarik jika Rang Undang-undang Anti Lompat Parti tidak dibawa dan diluluskan pada sesi parlimen pada Mac depan. -KOSMO! ONLINE