REMBAU – Tindakan dua anggota Kor Polis Tentera yang memberi laluan kepada ambulans meskipun dalam tugasan mengawal laluan aset tentera di persimpangan lampu isyarat Kendong hari ini wajar diberi pujian.
Konvoi aset tentera berkenaan dipercayai datang dari arah Simpang Ampat, Melaka membelok ke kanan jalan menghala Tampin kira-kira pukul 5.40 petang itu.
Dua kenderaan yang dibawa secara berasingan oleh anggota berkenaan bertindak menyekat laluan bagi tujuan keselamatan pengguna jalan raya ketika kelibat ambulans tiba dari arah Rembau.
Salah seorang anggota segera membantu membuka laluan bagi membolehkan ambulans melalui jalan tersebut, manakala anggota lain menahan aset tentera yang sedang dalam konvoi ke kem tentera di Gemas.
Tindakan pantas berkenaan mendapat pujian serta kerjasama daripada pengguna jalan raya yang lain. -KOSMO! ONLINE