JOHOR BAHRU – Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (Medac) sedia bekerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (Mafi) bagi memperluaskan industri tanaman jagung bagi mengatasi isu dedak import mahal.
Menterinya, Tan Sri Noh Omar berkata, usaha itu boleh diusahakan oleh koperasi pertanian dibawah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) bersama Jabatan Pertanian bagi memperbanyak projek tanaman jagung di negara ini.
“Koperasi pertanian dibawah SKM sudah tentu akan bekerjasama dengan Jabatan Pertanian dan boleh jadi kita kongsi modal bersama.
“Mungkin Jabatan Pertanian boleh beri benih, jadi koperasi boleh mengeluarkan modal untuk membersihkan tanah. Ini kerana Jabatan Pertanian sering memberikan bantuan peralatan tetapi untuk membersihkan tanah (untuk aktiviti pertanian), SKM akan bantu,” katanya pada sidang akhbar selepas melawat Koperasi Kariah Masjid Taman Impian Emas, di sini hari ini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee bahawa harga runcit ayam dan ternakan ruminan lain dijangka mampu dikurangkan drastik apabila ladang jagung diwujudkan semula secara besar-besaran di seluruh negara.
Baru-baru ini, bekas Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mendedahkan isu dedak jagung import menjadi punca utama harga ayam melonjak dan mendakwa kerajaan Barisan Nasional pernah merangka pelan jangka panjang 2018-2032 bagi mengurangkan kebergantungan import.
Jelas Noh lagi, atas dasar itu ia memerlukan kerajaan yang stabil dan mempunyai kesinambungan agar apa yang dirancang kerajaan terdahulu tidak diganggu gugat kerajaan yang mengambil alih. -KOSMO! ONLINE