SEBERANG PERAI – Sebanyak 14 buah sekolah rendah di negeri ini dijadikan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) bagi Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) yang dijadualkan secara berperingkat bermula hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Dr. Norlela Ariffin berkata, ia bagi mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada murid sekolah rendah sekali gus meningkatkan keyakinan ibu bapa terhadap proses vaksinasi anak-anak mereka.
“Apa yang pasti ialah, PPV Sekolah itu akan dibuat secara menyeluruh di kesemua lima daerah di negeri ini,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan kursus ‘Northern Region Ultrasound Handheld’ kali kedua (NRUSH2.0) di Seberang Jaya di sini hari ini.
Sehingga Jumaat lalu, seramai 530 orang kanak-kanak yang berusia antara lima hingga 11 tahun telah mendapat suntikan vaksin di dua PPV yang terlibat dengan PICKids iaitu di Hospital Pulau Pinang (HPP) dan Hospital Seberang Jaya (HSJ).
Lima lagi PPV kemudian turut dibuka untuk tujuan yang sama bermula Sabtu lalu iaitu di Tapak Pesta Sungai Nibong dan Dewan Sunshine Bayan Baru (daerah Barat Daya), Sunshine Bertam (Seberang Perai Utara), Tapak Ekspo Seberang Jaya (Seberang Perai Tengah) serta Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bandar Cassia di Seberang Perai Selatan.
Dalam pada itu, mengulas mengenai kursus NRUSH2.0 pula, kata Norlela, ia dihadiri oleh kira-kira 50 orang doktor dari beberapa jabatan kecemasan serta jabatan anaetesiologi hospital khususnya dalam zon utara yang melibatkan tiga negeri iaitu Kedah, Perlis dan Pulau Pinang.
Selain memberi pendedahan dan pengenalan mengenai teknologi ultra bunyi dalam bidang kesihatan katanya, kursus itu juga bertujuan melatih pakar dan pegawai perubatan tentang cara serta teknik penggunaan ultra bunyi yang betul dan sebagainya. – KOSMO! ONLINE