fbpx

TM peroleh jalur spektrum 2600MHz

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Peruntukan spektrum tambahan akan memberi kemudahan telekomunikasi yang lebih baik kepada pelanggan termasuk yang tinggal di kawasan luar bandar dan pedalaman. – Gambar hiasan

PETALING JAYA – Telekom Malaysia Berhad (TM) telah memperoleh kemudahan jalur spektrum 2600MHz daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebagai usaha untuk meningkatkan kualiti pengalaman pelanggan dan kapasiti perkhidmatan sedia adanya.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata, Kumpulan telah menerima tawaran daripada SKMM untuk blok spektrum 20MHz bagi jalur spektrum 2600MHz.

Tawaran tersebut diperoleh melalui anak syarikatnya, Webe Digital Sdn. Bhd. (Webe).

Menurut Imri, blok yang telah diperuntukkan sebanyak 2575MHz sehingga 2595MHz itu akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2022, dengan jumlah yuran yang dikenakan sebanyak RM37 juta bagi tempoh lima tahun.

“Spektrum tersebut akan memberi nilai dan manfaat kepada Kumpulan.

“Melalui pe­ningkatan kapasiti ini akan membolehkannya ­menyediakan akses talian tetap dan tanpa wayar yang menyeluruh serta kandungan kepada pe­langgan runcit dan juga industri, sama ada di rumah, pejabat atau di mana-mana sahaja,” katanya dalam kenyataan.

Imri menerangkan, melalui penerimaan tawaran spektrum itu juga bersesuaian dengan hala tuju masa hadapan Kumpulan ke arah ruang digital yang dinamik.

“Dengan infrastruktur gentian kami yang mampan dan meluas, spektrum ini akan membolehkan perluasan perkhidmatan telekomunikasi pada masa hadapan buat para pelanggan, untuk pe­ngalaman bersepadu yang menyeluruh,” terangnya.

Imri menerangkan, peruntukan spektrum tersebut akan membolehkan TM menyokong agenda nasional dalam memberikan liputan telekomunikasi yang meluas dengan kualiti perkhidmatan yang terbaik, terutama­nya melalui Jalinan Digital Negara (Jendela) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDigital).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI