KETUA jurulatih baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon perlu diberikan ruang dan masa untuk memahami budaya bola sepak negara dalam usaha meningkatkan prestasi pasukan kebangsaan selepas ini.
Pengendali dari Korea Selatan berusia 52 tahun itu dilantik oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bulan lalu dengan kontrak selama dua tahun sehingga 2023 bagi mengisi kekosongan ditinggalkan Tan Cheng Hoe.
Perkara itu diakui bekas penyerang prolifik Harimau Malaya, Mohd. Safee Sali yang turut mengharapkan agar para peminat bola sepak sukan No. 1 itu bersabar untuk melihat perubahan dalam skuad negara.
“Mustahil untuk mendapat keputusan drastik dengan pelantikan jurulatih baharu dalam tempoh satu atau dua bulan. Corak permainan juga tidak akan berubah dalam masa yang singkat.
“Jangan letak harapan terlalu tinggi, kita perlu sabar kerana ia perlukan masa. Paling penting sekali adalah beliau perlu memahami budaya dan bola sepak kita.
“Saya ingin melihat beliau cepat menyesuaikan diri bagi membentuk pasukan lebih mantap,” katanya ketika ditemui pemberita pada aksi persahabatan antara Kelab Sukan dan Rekreasi Veteran Boss Gaurus (VBG) dan selebriti kelmarin.
Perlawanan persahabatan amal anjuran VBG, Azyma Group Sdn. Bhd dan Islamic Aid Malaysia di Stadium Panasonic, Shah Alam itu bertujuan mengumpulkan dana untuk disalurkan kepada dua buah badan kebajikan, YamanFund dan Rumah Sentuhan Budi.
Pengarah Urusan Azyma Group, Ahmad Zaiem Ismail menjelaskan, aksi persahabatan itu adalah salah satu program tanggungjawab sosial korporat (CSR) bagi membantu golongan yang tidak berkemampuan.