KEMAMAN – Remaja perempuan berusia 15 tahun yang disyaki membunuh bayi lelakinya pada 8 Februari lalu akan dituduh di Mahkamah Majistret di sini esok.
Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata, suspek yang kini ditempatkan di Wad Isolasi Hospital Kemaman akan dituduh di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Kertas siasatan telah lengkap dan apabila dirujuk, Pejabat Pendakwa Raya bersetuju pertuduhan dilakukan esok mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
“Sepanjang tempoh tahanan reman selama seminggu ini, suspek ditempatkan di wad isolasi Hospital Kemaman untuk pemantauan kesihatan. Keadaan dia kini dilaporkan sihat,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Dalam perkembangan sama, Hanyan berkata, polis masih giat memburu seorang lelaki berusia 20 tahun yang juga rakan sekampung suspek bagi membantu siasatan kes tersebut.
Kosmo! 9 Februari lalu melaporkan seorang remaja perempuan berusia 15 tahun ditahan kerana disyaki menikam bayi lelaki yang dilahirkannya sehingga mati.
Polis kemudiannya meminta seorang lelaki dikenali sebagai Mohammad Hazuarie Hassan, 20, tampil untuk membantu siasatan. – K! ONLINE