SHAH ALAM – Penemuan Utama Banci Penduduk dan Perumahan 2020 mendapati, penduduk di Malaysia berjumlah 32.4 juta.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, purata Kadar Pertumbuhan Tahunan (CAGR) penduduk pula adalah 1.7 peratus dalam tempoh 10 tahun.
“Daripada jumlah itu, 29.8 juta atau 91.7 peratus adalah warganegara manakala 2.7 juta atau 8.3 peratus bukan warganegara.
“Bancian juga mendapati 52.3 peratus penduduk di negara ini ialah lelaki manakala 47.7 peratus perempuan dengan nisbah jantina adalah 110 lelaki berbanding 100 wanita,” katanya semasa berucap pada Majlis Pelancaran Dapatan Awalan Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2020 (Banci Malaysia 2020) di Dewan Canselor Management Science Univeristy, di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed dan Pesuruhjaya Banci Penduduk dan Perumahan 2020, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin.
Ismail Sabri berkata, penemuan banci juga menunjukkan negeri yang mempunyai bilangan wanita melebihi lelaki adalah Wilayah Persekutuan Putrajaya, di mana 100 orang wanita bersamaan 96 orang lelaki.
“Bagi statistik mengikut etnik, penduduk Bumiputera mencatatkan peratusan tertinggi sebanyak 69.4 peratus diikuti oleh etnik Cina ( 23.2 peratus), India ( 6.7 peratus) dan Lain-lain ( 0.7 peratus).
“Dari segi kumpulan umur, dapatan daripada 32.4 juta penduduk Malaysia menunjukkan 6.8 peratus adalah berumur 65 tahun dan ke atas, 69.3 peratus ialah umur bekerja (15 hingga 64 tahun) dan bakinya 24.0 peratus dalam kalangan umur muda (0 hingga 14 tahun),” ujarnya.
Beliau berkata penemuan Banci 2020 itu akan dijadikan tanda aras baharu untuk kerajaan menggariskan polisi dan dasar berkaitan dalam pembangunan kesejahteraan rakyat, di samping dapat memberikan input menyeluruh dalam pelaksanaan dasar sedia ada seperti Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Rancangan Malaysia Ke-12 dan Agenda 2030 Pembangunan Mampan (SDGs).
Katanya, dalam menghasilkan statistik kependudukan dan demografi melalui pelaksanaan Banci 2020 itu, kerjasama strategik antara Jabatan Perangkaan Malaysia dengan kementerian, agensi kerajaan negeri, pihak berkuasa tempatan dan pihak swasta serta masyarakat umum telah terjalin erat bagi menjamin integriti data yang diterbitkan. – K! ONLINE