PUTRAJAYA – Jangkitan baharu Covid-19 kekal melepasi angka 20,000 untuk kali keempat tahun ini dengan 21,315 kes dilaporkan hari ini, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 3,061,550 kes.
Berdasarkan perbandingan, kes harian mula merekodkan melepasi angka tersebut pada Jumaat lalu dengan 20,939 dan Sabtu pula sebanyak 22,802 kes serta semalam dengan 21,072 kes.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada kes harian hari ini, 87 kes (0.41 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima serta 21,228 kes (99.59 peratus) kategori satu dan dua.
“Mengikut pecahan pula, kategori satu sebanyak 6,200 kes (29.09 peratus), kategori dua sebanyak 15,028 kes (70.50 peratus), kategori tiga sebanyak 48 kes (0.23 peratus), kategori empat sebanyak 23 kes (0.11 peratus) dan kategori lima pula 16 kes (0.07 peratus),” menurut hantaran Twitter beliau di sini hari ini. -KOSMO! ONLINE