KINI tiada lagi manual undang-undang dalam berfesyen serta gaya yang terlalu mengikut aliran. Paling penting adalah gaya individu itu sendiri.
Anda hanya perlu bijak bereksperimentasi dan yakin dengan penampilan sendiri.
Bukan mahal atau murah sesuatu pakaian yang menjadi aspek utama dalam penampilan seharian.
Perlu diingat sebenarnya untuk kelihatan hebat dalam apa sahaja yang kita gayakan, pakaian perlu sesuai dengan potongan badan, gaya, imej serta personaliti kita secara keseluruhan.
Kita memang kadangkala amat teruja untuk memakai segala yang menjadi look of the moment. Tetapi pastikan jangan kesemuanya dipakai dalam satu masa, kerana ia akan kelihatan agak keterlaluan dan mungkin akan menjadi umpatan mereka yang melihat.
Untuk minggu ini, saya titipkan beberapa definisi gaya yang dirasakan perlu ada pada lelaki yang cukup pentingkan keterampilan diri dalam menyerlahkan keperibadian yang terpuji dan disegani.
1. Elak aksesori pelik
Lelaki perlu mengelakkan pemakaian aksesori yang pelik dan agak berat serta keterlaluan untuk dipakai ke pejabat. Aksesori hanya sesuai digayakan selepas waktu bekerja.
Pilihlah kafling yang tidak begitu menonjol rekaannya dan tali pinggang yang sepadan dengan sut dan tali leher.
Jam tangan (rekaan konservatif) dan cincin perkahwinan adalah antara aksesori pelengkap yang boleh dipakai.
2. Gaya peribadi
Gaya adalah sesuatu yang peribadi. Jika anda rasa cukup yakin untuk menggayakan sesuatu rekaan, teruskan niat anda itu dan bereksperimentasilah dengan fesyen.
Tiada siapa yang sepatutnya memberitahu anda tentang bagaimana untuk berpakaian. Setiap kita punya gaya individu kita yang tersendiri.
Sememangnya untuk kelihatan menarik, kadangkala kita perlu membuat sedikit perubahan pada gaya kita. Paling penting kita harus bijak memilih dan bereksperimentasi dengan fesyen.
Sebanyak 80 peratus daripada gaya adalah dengan mempunyai pakaian yang bersesuaian untuk pelbagai acara dan majlis.
Sejak kebelakangan ini, kod berpakaian lebih terbuka dan fleksibel, tetapi perlu diingat bahawa masih ada etika berpakaian yang perlu diikuti oleh kita semua.
Contohnya apabila anda kurang pasti tentang etika pakaian formal, sama ada anda menghadiri mesyuarat perniagaan atau parti koktel, jalan paling selamat untuk anda ialah memakai tali leher untuk ke majlis itu.
3. Cerminan gaya individu
Setiap kali menggayakan sesuatu pakaian berserta padanannya sekali, pastikan anda melihat secara keseluruhan (total look).
Jaket, kemeja, tali leher, seluar dan kasut anda mungkin berkualiti daripada jenama hebat, tetapi paling penting adakah ia sesuai dipadankan antara satu sama lain?
Berpakaian penuh gaya dapat dicapai jika kita tahu menata gaya secara keseluruhan. Perlu diingat, setiap gaya seharusnya mencerminkan gaya individu yang tersendiri.
4. Ekspresi tersendiri
Pakaian merupakan ekspresi luaran yang lahir dari dalam diri individu atau seseorang.
Adalah amat penting berpakaian bertujuan sebagai suatu ekspresi gaya tersendiri atau sekadar untuk menyampaikan mesej tertentu kepada sesiapa yang melihat.
Walau apapun gaya anda, seharusnya ia nampak effortless & natural (bersahaja), tidak keterlaluan dan trying too hard.
5.Ikut gaya klasik
Apabila memilih sut, seseorang lelaki harus mencari sut yang paling sesuai dan selesa digayakan olehnya.
Bukan memilih sut yang hebat dari segi rekaan, tetapi nampak janggal apabila dipakai. Dalam erti kata lain, elegance, sophistication and timeless style always better than off-the-moment trends, which will date-and date the wearer.
Dalam lingkungan yang konservatif, lelaki seharusnya berpakaian mengikut gaya klasik dan rasmi (formal).
Pemilihan warna untuk business suit lebih ditumpukan pada rona hitam dan kelabu.
———————————————————————————————————————————————–
FAIZAL HAMID ialah Pensyarah Kanan Jabatan Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara, Shah Alam,Selangor.