LANGKAWI – Dua beradik lelaki warga Myanmar meninggal dunia selepas ditemui dalam keadaan terhuyung-hayang dan mulut berbuih dipercayai setelah makan sisa makanan tercemar dari tong sampah di Kampung Baru Sungai Tepa di Bukit Malut di sini petang tadi.
Kedua-dua mangsa dikenali sebagai Ngei Jamaludin, 2, dan abangnya, Nizambudin, 4, ditemui bapa mereka, Jamaludin, 36, yang berasal dari Myanmar di kawasan tong sampah di situ kira-kira pukul 5.40 petang.
Ketua Polis Daerah Langkawi, Asisten Komisioner Shariman Ashari berkata, bapa kepada dua beradik itu melihat keadaan mereka dalam keadaan terhuyung-hayang di kawasan tong sampah.
“Seterusnya lelaki terbabit terus mengangkat dua anaknya itu ke rumah jiran dan mendapati mulut kedua-dua mangsa berbuih.
“Dalam beberapa minit dua kanak-kanak itu didapati sudah tidak bernafas sebelum penduduk kampung menghubungi pihak polis,” katanya di sini hari ini.
Kata Shariman, hasil siasatan awal mendapati bapa mangsa bekerja mengambil upah membaiki kelengkapan bot selain melakukan kerja-kerja kampung.
“Mereka tidak mempunyai rumah tetap dan hanya menumpang di rumah jiran-jiran. Kanak-kanak yang meninggal dunia itu dipercayai memakan sisa makanan dari tong sampah di lokasi mereka dijumpai,” jelasnya.- K! ONLINE